SEREMBAN - UMNO menegaskan tidak akan menerima kemasukan ahli daripada parti lain dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya ada yang berhasrat menyertai parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti-parti lain dalam gabungan itu juga seharusnya mengambil langkah sama bagi memelihara keharmonian kerjasama yang telah terjalin.
"Saya harap mulai hari ini, semua parti yang bekerjasama membentuk kerajaan untuk mengurus negara ini, hentikanlah untuk memikat ahli daripada mana-mana parti dalam gabungan ini.
"UMNO tak ada curi ahli sesiapa dan kalau ada pun ahli parti lain dalam kerajaan nak masuk UMNO, saya sebagai pengerusi pengurusan tidak akan terima," katanya ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penyerahan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan Lavender Height di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memmaklumkan parti itu akan menyerahkan nota bantahan kepada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang menerima kemasukan ahlinya sebagai tanda protes terhadap tindakan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik.
**media[3237907]**
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setiap parti seharusnya mempunyai etika apabila sudah bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan.
Jelasnya, sekiranya konsep menerima ahli parti dalam gabungan kerajaan menjadi kebiasaan, ia dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian sedia ada.
"Macam mana kita nak mengharmonikan keadaan jika ini berlaku?
"Saya tidak bercakap kepada satu parti, tapi pada semua, supaya kita dapat menjaga keharmonian di antara parti yang menubuhkan kerajaan ini," katanya
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau turut mendedahkan bahawa beberapa ahli UMNO telah dicadangkan untuk dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin parti kerana didapati menyertai parti lain dalam gabungan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar ahli yang terlibat.
"Bagi individu tersebut dia nak masuk (sertai parti lain), itu terpulang pada dia, tapi bagi parti, mesti ada satu etika di antara satu sama lain.
"Mereka tidak sepatutnya terima. Kalau 'percuma untuk semua' susahlah. Ini tidak baik untuk parti yang bersama-sama menubuhkan kerajaan," katanya.